PM beri amanat kepada penguat kuasa KPDN julung kali esok

2024-08-22    berita.rtm.gov.myHaiPress

FOTO FB ANWAR IBRAHIM

PUTRAJAYA,22 Ogos- Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat beliau kepadajentera penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi perjumpaan khas bersama kumpulan itu buat julung kali esok.

Menterinya,Datuk Armizan Mohd Ali berkata pertemuan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pukul 2.45 petang.

"Sejak Bahagian Penguat Kuasa KPDN ditubuhkan pada tahun 1972,inilah kali pertama Perdana Menteri hadir dalam satu sesi amanat khusus bersama warga penguatkuasa KPDN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama,Armizan berkata KPDN hari ini telah menganjurkan Majlis Persaraan Sanjungan Budi,Kilauan Bakti bagi meraikan 45 orang pegawai yang telah dan akan bersara tahun ini.

Jelas beliau,kerajaan amat menghargai sumbangan para penjawat awam dan mengiktiraf peranan penting perkhidmatan awam dalam menentukan keberkesanan penggubalan dan pelaksanaan dasar dan program kerajaan

"Keprihatinan ini dizahirkan melalui penggubalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 16 Ogos 2024 yang lalu. Antara komponen SSPA adalah pelarasan semula emolumen yang melibatkan kenaikan gaji para penjawat awam di semua peringkat," katanya.

Sehubungan itu,Armizan mahu warga KPDN memperbaharui iltizam dan komitmen untuk meningkatkan produktiviti kerja,seiring pengumuman kenaikan gaji buat penjawat awam.

"Kecekapan dan ketangkasan kerja para penjawat awam di KPDN adalah amat penting untuk memelihara kepentingan rakyat. Ini termasuk dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan kefungsian KPDN yang terkait langsung dengan isu kepenggunaan dan kos sara hidup," katanya.

Jumaat lepas,Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional,manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.