Pindaan Akta Komunikasi & Multimedia 1998 perlu, tangani isu media sosial

2024-12-05    HaiPress

Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi

KUALA LUMPUR,5 Disember- Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi,menyambut baik serta menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata langkah itu perlu dalam menangani isu berkaitan dengan media sosial yang disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini termasuk,penipuan serta perjudian dalam talian,pornografi serta bahan penderaan seksual melibatkan kanak-kanak. Malah,ketika ini platform tersebut juga dilihat mudah dieksplotasi sekali gus memberi impak kepada keselamatan siber.

"Melalui pindaan ini,kami yakin Kerajaan Perpaduan akan dapat... pertama,memperketat penguatkuasaan undang-undang untuk membanteras aktiviti haram di platform media sosial,kedua mengawal penyebaran bahan terlarang yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"...Ketiga memastikan platform digital bertanggungjawab dalam memantau kandungan dan mencegah penyalahgunaannya,keempat meningkatkan kesedaran awam melalui program pendidikan dan kerjasama dengan pihak berkepentingan",katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Parlimen.

Datuk Dr Zulkafperi turut menyatakan RUU tersebut juga dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan berhubung penggunaan salah laku platform media sosial dalam memastikan rakyat terus dilindungi terutama kanak-kanak dan remaja dari ancaman tersebut.

Beliau turut berharap agar RUU tersebut akan mendapat sokongan penuh dari semua ahli parlimen.

RUU Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini akan dibentang dan dibahas dalam Dewan Rakyat pada 9 Disember (Isnin) ini.