Foto hiasan
GUA MUSANG,20 Jun- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengingatkan masyarakat khususnya di negeri itu supaya tidak keliru antara simptom penyakit kusta dan panau sekiranya berlaku keputihan pada permukaan kulit.
Pengarah JKNK Datuk Dr. Zaini Hussin berkata,tiga kes direkodkan pada tahun ini,selain enam kes pada 2024 dan tujuh kes untuk 2023 sekali gus mejadikan angka yang direkodkan itu dalam tempoh lebih dua tahun di negeri Kelantan sebanyak 16 kes.
"Simptom kusta ini biasanya tidak mempunyai simptom spesifik tetapi biasanya orang akan terkeliru kerana ia seperti panau,ada keputihan pada permukaan kulit. Untuk kusta berbeza kerana ia boleh menyebabkan hilang deria rasa pada kawasan tersebutl akibat gangguan pada saraf.
"Sebab itu kita boleh membezakan panau biasa dan kusta. Jadi saringan dan ambil calitan pada kulit akan dilakukan untuk dihantar ke makmal dan dianalisis. Pemeriksaan ini dilakukan ke atas kumpulan sasar,sebab itu kita adakan program LaKAR iaitu Program Latihan,Kesan,Analisa,Rawat,dan Rujuk," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Kusta Sedunia 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Pasir Linggi,Pos Lebir,di sini.
Datuk Dr. Zaini turut memaklumkan bahawa penyakit kusta dalam kalangan masyarakat orang asli di Kelantan masih terkawal danJabatan Kesihatan Negeri Kelantan(JKNK) sentiasa membuat pemantauan berterusan di kawasan perkampungan orang asli dan kumpulan berisiko.