Foto UUM
SINTOK,11 Julai–Dunia perniagaan yang semakin kompetitif menuntut setiap usahawan menguasai ilmu pengurusan kewangan memandangkan ia adalah salah satu elemen penting dalam memastikan kejayaan sesebuah perniagaan.
Pengarah Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG) Universiti Utara Malaysia (UUM),Prof. Dr. Noor Afza Amran berkata,untuk membina sebuah perniagaan yang berjaya,mampan dan bertahan,ia perlu mempunyai rekod kewangan teratur tidak kira perniagaan besar atau penjaja kecil.
“Usahawan termasuk penjaja kecil perlu mempunyai asas pengurusan kewangan perniagaan untuk memastikan perniagaan lebih berdaya saing dan berkembang pada masa hadapan. Bagi tujuan itu,ARICG memperkenalkan program pengurusan kewangan untuk penjaja kecil di bawah inisiatif UUM iaitu Projek Transformasi Changloon (CTP) yang dilancarkan Januari 2025.
"Program pendidikan terbaharu yang kami laksanakan adalah Program Pemantauan Pengurusan Kewangan Perniagaan Dalam Kalangan Penjaja Kecil Wanita Kedah yang dianjurkan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Kedah (FAMA) dan Pertubuhan Kesedaran Wanita Negeri Kedah (PKWK). Ia bertujuan memperkasa komuniti penjaja kecil menerusi pemindahan ilmu pengetahuan universiti kepada komuniti,” menurut Prof. Dr. Noor Afza.
Bagi memastikan peserta menerima dan memahami kandungan program dengan berkesan,penjaja kecil dilatih dalam kumpulan kecil di ARICG oleh pasukan penyelidik.
Kumpulan terdiri daripada 7 penjaja kecil wanita dari daerah Changloon diberi pendedahan tentang pengurusan kewangan perniagaan menggunakan teknologi digital bagi memudahkan urusan merekod transaksi kewangan.
Peserta diberi latihan secara praktikal supaya ilmu dan kemahiran pengurusan kewangan perniagaan dapat
dikuasai dengan baik dan seterusnya diamalkan dalam urusan perniagaan mereka
Menurut salah seorang peserta,Nur Izzatul Syafika Azaman,modul latihan sepanjang program membantu beliau meningkatkan kemahiran dalam pengurusan kewangan.
“Inisiatif ARICG ini sangat bertepatan dengan keperluan majoriti penjaja kecil di Changloon untuk menguruskan kewangan dengan teratur.
"Kami sangat berterima kasih atas pelancaran inisiatif CTP dan usaha UUM dan ARICG memindahkan pengetahuan bagi memperkasa komuniti menjadi lebih progresif,” katanya lagi.
Seorang lagi peserta,Noraini Tajudin berkata,konsep latihan secara amali membolehkan peserta mengenal pasti setiap kelemahan dalam pengurusan kewangan perniagaan.
“Bimbingan yang disediakan oleh ARICG ini dapat meningkatkan lagi kemahiran pengurusan kewangan kami. Antaranya,kami mampu mengenal pasti kelemahan dalam pengurusan kewangan perniagaan dan dengan cara itu,usaha penambahbaikan boleh segera dilaksanakan bagi mengatasi sebarang isu dalam pengurusan kewangan perniagaan.
"Ia adalah kemahiran yang sangat penting untuk usahawan termasuklah penjaja kecil. Ilmu pengurusan kewangan membolehkan kami mengembangkan perniagaan pada masa hadapan,” jelas Noraini.
Bagi Shakira Ashikin Abd Rashid pula,penggunaan teknologi bagi pengurusan kewangan perniagaan memudahkan usahawan merekodkan transaksi kewangan perniagaan.
“ARICG menggalakkan penjaja kecil memanfaatkan teknologi yang tersedia secara percuma untuk merekodkan perbelanjaan perniagaan. Ini sangat memudahkan kerana hanya menggunakan telefon pintar,kami dapat memantau dan merekodkan semua urus niaga berkaitan kewangan perniagaan kami.
"Teknologi yang dicadangkan kepada kami sangat mudah digunakan dan membantu kami menyediakan rekod yang lengkap dan teratur,” katanya lagi.
Selain pengurusan kewangan,sesi perkongsian pengalaman turut disediakan kepada peserta bagi mereka menimba ilmu perniagaan daripada usahawan berjaya.
Usahawan,Noor Rina Hassan yang membentangkan topik “Kepimpinan Wanita Dalam Perniagaan” berkata,usaha membina perniagaan yang berjaya dan mampan bukan mudah tetapi menuntut pengorbanan dan komitmen tinggi setiap masa.
Usahawan Noor Rina Hassan berkongsi pengalaman dan menekankan pentingnya peserta menguasai
kemahiran pengurusan kewangan untuk membina perniagaan yang mampan / Foto UUM
“Setiap perniagaan pasti akan menghadapi saat jatuh dan bangun. Persediaan mental dan fizikal sangat penting untuk memastikan setiap cabaran dalam perniagaan dapat diatasi. Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan kewangan perniagaan dan inisiatif oleh ARICG
"ini satu langkah tepat dalam memperkasa usahawan kecil khususnya penjaja wanita di Changloon dan negeri Kedah. Sebagai usahawan,kita perlu menguasai asas-asas ilmu perniagaan dan proses ini akan berlaku secara berterusan walaupun ketika sudah berada di kemuncak kerjaya,” jelas beliau.
Pemindahan pengetahuan kepada komuniti ini merupakan salah satu mekanisme bagi membolehkan inisiatif CTP mencapai matlamat iaitu memperkasa komuniti menjadi Komuniti Berpengetahuan serta memiliki pemikiran progresif di pelbagai peringkat usia.
Pelaksanaan program kepada komuniti di Changloon dibuat berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan dalam tempoh 10 tahun mengikut perancangan strategik CTP.
Bagi tahun pertama hingga lima,rangka kerja CTP memberi tumpuan kepada usaha membina asas yang fokus kepada pemerkasaan pendidikan,keterlibatan komuniti dan merintis pelbagai projek transformasi.
Manakala,bagi tahun keenam hingga sepuluh pula,CTP akan berusaha memanfaatkan asas-asas yang telah dibina untuk mengintegrasikan sepenuhnya teknologi moden dan amalan lestari dalam kalangan komuniti Changloon.