Ringgit dibuka tinggi didorong pelan AS kenakan tarif baharu

2025-07-14    IDOPRESS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,14 Julai -Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin,didorong oleh kebimbangan mengenai pelan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif ke atas tiga rakan dagang utama mulai 1 Ogos 2025.

Pada hujung minggu lepas,Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelan untuk mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan dari Kesatuan Eropah dan Mexico serta 35 peratus ke atas produk dari Kanada.

Pada 8 pagi,ringgit mengukuh kepada 4.2405/2635 berbanding dolar AS daripada 4.2475/2525 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata AS telah menggunakan tarif sebagai strategi untuk meraih kelebihan ekonomi.

“Ternyata,instrumen dasar tarif telah dijadikan sebagai strategi oleh AS untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi.

“Ini bermakna risiko penurunan terhadap pertumbuhan global kekal tinggi manakala risiko inflasi yang lebih tinggi terutamanya di AS semakin ketara,menyukarkan proses membuat keputusan oleh Rizab Persekutuan (Fed) mengenai penurunan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil antara RM4.24 dan RM4.25 berikutan ketidaktentuan global yang berterusan.

Pada sesi pembukaan,ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8792/8950 daripada 2.8893/8929,mengukuh berbanding pound kepada 5.7234/7544 daripada 5.7524/7592 dan naik berbanding euro kepada 4.9546/9815 daripada 4.9679/9737 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding kebanyakan mata wang ASEAN kecuali baht Thailand.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3119/3303 daripada 3.3186/3228,naik berbanding rupiah Indonesia kepada 261.4/263.0 daripada 261.8/262.3 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.55 daripada 7.52/7.53.

Bagaimanapun,ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0916/1711 daripada 13.0668/0886 pada Jumaat lepas.


- BERNAMA