Masyarakat diseru bijak guna media sosial, utamakan sumber sahih

2025-08-25    HaiPress

Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin

PUTRAJAYA,25 Ogos - Masyarakat diseru lebih berwaspada dan beretika dalam penggunaan media sosial dengan memastikan maklumat yang diperoleh adalah sahih selain mengelakkan daripada terlibat dalam sebarang bentuk buli siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama),Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata,masyarakat harus menjadikan saluran media arus perdana seperti RTM dan BERNAMA sebagai sumber rujukan utama berbanding bergantung sepenuhnya kepada maklumat media sosial.

"Kalau kita menjadikan platform media sosial itu sebagai platform dan rujukan ia dikhuatiri memberi maklumat yang tidak tepat dan tidak dapat dipastikan kesahihannya.

"Jadi pengguna media sosial perlu bijak menilai dengan merujuk berita arus perdana seperti RTM dan BERNAMA kerana sumber yang diberikan kepada masyarakat mendukung etika kewartawanan itu sendiri dengan melaporkan perkara-perkara yang sahih berfakta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Wanita Peringkat Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kementerian Kewangan di sini.

Datin Paduka Nur-ul Afida menjelaskan bahawa media sosial tidak boleh dijadikan sumber mutlak kerana ia merupakan sumber terbuka yang berisiko menyalurkan maklumat tidak benar serta menyimpang daripada fakta sebenar.