PNB, GLIC terajui inisiatif 10 Juara Bumiputera bawah agenda Ekonomi MADANI

2025-12-08    HaiPress

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Datuk Rick Ramli/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,7 Disember - Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama beberapa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited menerajui inisiatif 10 Juara Bumiputera di bawah program reformasi GEAR-UP,sebahagian daripada agenda Ekonomi MADANI.

Dalam kenyataannya,PNB berkata,program strategik tersebut menyasarkan melahirkan 10 syarikat Bumiputera,masing-masing dengan nilai pasaran atau nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

Usaha tersebut dibangunkan melalui kerjasama menyeluruh antara GLIC,GLC dan kerajaan bagi memperkasa syarikat Bumiputera secara lebih berstruktur.

Menurut Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,Datuk Rick Ramli,hanya 5 daripada 220 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2020 hingga 12 November 2025 adalah milik Bumiputera.

Keadaan ini,katanya menuntut pendekatan lebih bersepadu untuk membina syarikat yang berskala besar serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Berbeza daripada program vendor sebelum ini,inisiatif ini memilih syarikat berpotensi melalui proses yang teratur,menilai kapasiti sebenar mereka dan menyediakan sokongan GLIC secara bersama.

Sokongan merangkumi pembangunan kapasiti,akses pasaran melalui rangkaian GLIC,bimbingan strategik serta pembinaan Pelan Penciptaan Nilai untuk mempercepat pertumbuhan dan membuka nilai jangka panjang.

Datuk Rick menegaskan bahawa inisiatif ini seiring mandat PNB untuk memacu pertumbuhan ekonomi inklusif dan melahirkan syarikat Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Program ini turut diperkukuh di bawah kerangka PUTERA35 dan Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri,dengan peruntukan RM40 juta melalui Belanjawan 2026.