Kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Dua,pagi tadi
KEMAMAN,26 November - Seorang penjawat awam maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2),pagi tadi.
Insiden berlaku di kilometer 306.3 susur keluar menuju Plaza Tol Kijal,kira kira pukul 6.00 pagi.
Ketua Polis daerah Kemaman Supritendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan mangsa,Mohd Noor Yunus,37 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketika kejadian,mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kemaman.
Sebaik tiba di lokasi kejadian,kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya.
Akibat perlanggaran itu,mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas besi penghadang lebuhraya menembusi bahagian hadapan kereta mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh Khairulhasni Mokhtar berkata sepasukan sepuluh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada 6.12 pagi.
Operasi mengeluarkan mayat terpaksa menggunakan peralatan khas. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Kemaman bagi proses bedah siasat.