STIZ lonjak kehadiran pelancong, dorong kemasukan pelabur

2025-08-25    HaiPress

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,23 Ogos - Inisiatif Pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ) berpotensi melonjakkan kehadiran pelancong dan mendorong kemasukan pelabur yang ingin terlibat dalam projek yang berdaya maju.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360 Sdn Bhd,Datuk Naresh Mohan berkata,STIZ yang menjadi tumpuan utama sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),perlu dijayakan berasaskan model Perkongsian Awam-Swasta (PPP),selain disokong pengukuhan infrastruktur di seluruh negara.

“Sebagai contoh,kita ada lapangan terbang yang sedang dinaik taraf,Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan salah satu lapangan terbang terbaik di dunia dan menempatkan beberapa syarikat penerbangan terbaik dunia.

''Kita juga mempunyai rangkaian hubungan yang sangat luas dan semakin berkembang termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan juga lapangan terbang lain di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Pulau Pinang,semuanya sedang dinaik taraf dan itu sangat penting dan akan menarik lebih ramai pelawat ke negara ini,'' jelasnya kepada pemberita RTM,di sini.

Tambahnya,pembangunan STIZ turut membuktikan kepentingan dan potensi pelancongan sebagai sektor berimpak tinggi dan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Inisiatif STIZ yang diumumkan dalam pembentangan RMK13 pada 31 Julai lalu akan diwujudkan di beberapa negeri khususnya Johor,Melaka,Negeri Sembilan dan Sarawak dengan kerjasama antara kerajaan persekutuan,kerajaan negeri,pihak swasta dan koperasi.

Zon ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu seperti pelancongan berasaskan aset seni,budaya dan warisan serta alam semula jadi seperti Lembah Lenggong dan Gua Niah yang diiktiraf UNESCO.