Pasaran ekonomi digital peluang besar PKS

2025-08-28    HaiPress

Transformasi digital prasyarat utama kepada PKS agar dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi AI dalam operasi perniagaan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,27 Ogos – Pasaran ekonomi digital Malaysia yang berkembang pesat,khususnya dalam sektor Software as a Service (SaaS),membuka peluang besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkukuh daya saing.

Bagaimanapun,ia menuntut kesediaan menghadapi cabaran teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Naib Presiden dan Pengurus Besar Asia Pasifik,Zoho Corporation,Gibu Mathew berkata,AI kini menjadi platform asas inovasi yang mampu meningkatkan kualiti produk,perkhidmatan serta produktiviti organisasi.

Menurutnya,transformasi digital merupakan prasyarat utama kepada PKS agar dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi AI dalam operasi perniagaan.

“Kita akan menyaksikan perkembangan ini meningkat,dan organisasi yang benar-benar menerima teknologi perlu terlebih dahulu melakukan pendigitalan,sebelum menggunakan peralatan berkuasa AI.

"Organisasi yang mengamalkan langkah ini akan menjadi peneraju pantas,manakala yang gagal mengadaptasi teknologi ketika ia hadir berisiko ketinggalan.

"Sehubungan itu,amat penting bagi organisasi untuk mengguna pakai serta menyesuaikan proses mereka,seterusnya menambah baik operasi menggunakan teknologi ini agar kekal berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Zoho’s Media Roundtable: Reimagining Growth – How Malaysian SMEs Can Compete and Win in the Next 5 Years of AI,di sini.

Gibu turut menjelaskan bahawa apa juga saiz dan jenis perniagaan,pengalaman pelanggan semakin menuntut kualiti lebih tinggi dan teknologi AI akan menjadi pemangkin utama dalam memenuhi jangkaan tersebut dan mempercepatkan transformasi digital merentas sektor.