KWAP lancar Dana Iklim+, galak pelaburan hijau negara

2025-10-17    HaiPress

Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,Datuk Seri Johari Abdul Ghani melancarkan Dana Iklim+ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,hari ini

KUALA LUMPUR,16 Oktober- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan Dana Iklim+,dana pelaburan pertama di Malaysia yang memfokuskan kepada pelaburan berteraskan iklim dengan sasaran RM2 bilion.

Dana bertujuan mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi sifar bersih,melalui pelaburan dalam sektor infrastruktur,ekuiti swasta,hartanah dan penyelesaian berasas alam semula jadi.

Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata inisiatif berkenaan menjadi pemangkin dalam menjadikan Malaysia peneraju industri hijau serantau.

“Selain menjana keuntungan pelaburan,KWAP turut menyediakan dana bagi aktiviti atau teknologi berasaskan semula jadi yang membantu mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong usaha menangani perubahan iklim.

Ini satu inisiatif yang sangat dialu-alukan oleh kerajaan,”kata Datuk Seri Johari selepas melancarkan Dana Iklim+ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negera.

Jelasnya,Dana Iklim+ juga berfungsi sebagai dana pusingan,dengan membolehkan pulangan pelaburan akan diguna semula bagi membiayai inisiatif mampan,seiring komitmen KWAP mencapai portfolio pelaburan sifar bersih menjelang 2050.

Sebagai program pelaburan pemangkin ketiga KWAP selepas Dana Pemacu dan Dana Perintis,Dana Iklim+ dibangunkan untuk menggerakkan modal institusi ke arah pencapaian hasil dekarbonisasi dan ketahanan iklim yang boleh diukur.