RM1 bilion jaminan SJPP: Langkah tepat sokong PKS terjejas tarif AS

2025-05-06    IDOPRESS

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid / Foto RTM

KUALA LUMPUR,5 Mei – Langkah kerajaan untuk meningkatkan jaminan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat disifatkan sebagai tindakan yang tepat dan proaktif dalam menangani impak ekonomi global.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid,langkah tersebut bakal membuka lebih banyak akses pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas terutamanya dalam sektor eksport.

"Dengan situasi yang dihadapi,berkemungkinan jualan PKS yang mempunyai pendedahan dalam ekonomi Amerika Syarikat akan terjejas,maka dengan adanya pembiayaan seperti ini,ianya dapat membantu sedikit sebanyak untuk mereka merencana dan menstruktur semula kedudukan kewangan mereka kelak." katanya demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu di Nasional FM,di sini hari ini.

Beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan yang tidak mengambil pendekatan balas terhadap Amerika Syarikat,sebaliknya memilih untuk meneruskan rundingan pragmatik dalam mencari penyelesaian isu tarif secara diplomatik.

Dalam pada itu,Dr Afzanizam berharap rundingan antara kedua-dua negara dapat mencapai keputusan dalam tempoh 90 hari seperti diumumkan oleh pihak Amerika Syarikat baru-baru ini.

Mengulas mengenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus,beliau tidak menolak kemungkinan bahawa angka tersebut akan disemak semula,selari dengan perubahan landskap ekonomi global.

Sementara itu,mengulas semakan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) daripada 4.7 peratus kepada 4.1 peratus,beliau berpandangan bahawa angka tersebut menjadi isyarat jelas bahawa intervensi dasar kerajaan amat diperlukan untuk memastikan pertumbuhan domestik kekal mampan.