Boost Bank salur pembiayaan hampir RM150 juta bantu usahawan PKS

2025-05-06    IDOPRESS

Foto Bernama

KUALA LUMPUR,6 Mei - Boost Bank telah menyalurkan pembiayaan berjumlah hampir RM150 juta kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pelbagai sektor.

Melangkah ke hadapan,institusi kewangan itu bakal memperkenalkan sebuah platform digital baharu yang dibina khusus untuk PKS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Fozia Amanulla,pencapaian ini membuktikan proses pembiayaan yang dipermudah membantu lebih banyak perniagaan kecil berkembang tanpa halangan.

“PKS merupakan nadi ekonomi Malaysia. Mereka mencipta peluang pekerjaan,mendorong inovasi dan menjadikan komuniti kita lebih dinamik. Meraih pencapaian ini bukan sekadar soal angka,tetapi tentang impak sebenar kepada usahawan yang memerlukan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya,kejayaan ini turut mencerminkan bagaimana penyelesaian digital mampu merevolusikan cara perniagaan kecil beroperasi dalam era moden.

Berhubung platform digital baharu yang akan dibina khusus untuk PKS,beliau berkata platform itu bukan sahaja menawarkan pembiayaan tetapi juga membantu dalam pengurusan kewangan,pembayaran dan operasi harian secara menyeluruh.

Sekali gus membolehkan pemilik perniagaan menumpukan sepenuhnya kepada pertumbuhan perniagaan masing-masing.